Kastam gagalkan cubaan transit server cip AI hampir RM49.5 juta

Foto BERNAMA

SEPANG, 28 Oktober – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa KL (LTAKL) berjaya mematahkan cubaan transit 30 unit server mengandungi cip kecedasan buatan (AI) berteknologi tinggi bernilai hampir RM49.5 juta, termasuk cukai.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM LTAKL merampas server AI dalam pemeriksaan gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 15 Oktober; barangan dipercayai untuk transit dan dieksport semula.
  • Sindiket mengikrarkan barangan secara palsu sebagai komponen elektronik untuk elak pengesanan dan menjadikan Malaysia laluan transit bagi mengelak sekatan pengeksportan.
  • Operasi turut merampas dadah (ganja, ketamin) dan dua Mini Cooper tanpa permit; kes disiasat di bawah Akta Dadah dan Akta Kastam.

Pengarahnya, Aspalila AG Tuah berkata, rampasan terhadap barangan yang berpotensi digunakan untuk pembangunan teknologi ketenteraan itu dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 15 Oktober lepas.

Kejayaan rampasan terbesar itu, hasil siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL sepanjang bulan September dan Oktober.

“Hasil siasatan awal mendapati server yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia itu akan dieksport semula ke sebuah negara Asia yang lain.

“Sindiket didapati mengikrarkan barangan berkenaan secara palsu sebagai komponen elektronik bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, selain menjadikan Malaysia sebagai laluan transit bagi mengelak sekatan pengeksportan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, transaksi membabitkan cip AI itu tertakluk kepada Pengisytiharan Barangan Tidak Tersenarai dan aktiviti terhad di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 yang memerlukan kelulusan serta permit daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010.

Dalam sidang media sama, Aspalila turut mengumumkan kejayaan kastam menggagalkan dua cubaan menyeludup dadah membabitkan rampasan bunga ganja seberat 7.280 kilogram (kg) dan ketamin seberat 9.114 kg.

“Bagi kes bunga ganja bernilai RM582,400 yang dirampas pada 12 Oktober, dadah berkenaan disorokkan di dalam plastik kedap udara dalam kotak yang diikrar sebagai kasut dan barang permainan untuk dieksport ke Eropah menerusi perkhidmatan bungkusan.

“Bagi kes rampasan ketamin bernilai RM455,700 pada 9 Oktober pula, bahan terlarang itu dibawa masuk dari Eropah dengan disorokkan dalam bungkusan aluminium di dalam kotak yang diikrar sebagai Sepana Paip dan Kotak Peralatan,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam operasi pada 14 September lalu, JKDM LTAKL turut menyita dua buah kereta model Mini Cooper S bernilai RM180,000 dengan anggaran cukai RM154,620 di sekitar Sepang.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak mempunyai rekod pendaftaran JPJ, serta diseludup masuk tanpa permit import yang sah daripada dari luar negara,” jelasnya.

Kes itu pula disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Nilai keseluruhan cip AI, dadah dan kenderaan import yang dirampas mencecah RM50.87 juta, termasuk cukai.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan digesa menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berdekatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.