WAGC 2026: Himpun 620 peserta dari 48 negara

Foto PRESS RELEASED WAGC-JOTIC

DESARU, 28 Oktober – Malaysia menjadi tumpuan komuniti golf antarabangsa apabila menghimpunkan 620 pemain golf dan delegasi dari 48 negara melalui Kejohanan Akhir Dunia World Amateur Golfers Championship (WAGC) 2026 yang bakal berlangsung di Desaru Coast, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggunakan tiga padang golf bertaraf antarabangsa bagi penganjuran kejohanan.
  • Memperkukuh sektor pelancongan sukan melalui tarikan kemudahan golf dan kepelbagaian produk pelancongan tempatan.
  • Memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui perhotelan, makanan, pengangkutan dan perkhidmatan pelancongan.

Kejohanan edisi ke-31 itu turut melibatkan tiga padang golf, iaitu The Els Club Desaru Coast, Forest City Golf Resort dan Tanjong Puteri Golf Resort.

Penganjuran yang bermula pada 23 Oktober sehingga 30 Oktober dilihat sebagai platform  memperkukuh sektor pelancongan sukan negara, khususnya menerusi tarikan kemudahan golf bertaraf antarabangsa dan kepelbagaian produk pelancongan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Pannir Selvam berkata, sukan bukan sahaja menyatukan masyarakat antarabangsa, malah berpotensi mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

Tambahnya, penganjuran acara antarabangsa perlu memberi manfaat melangkaui pertandingan, termasuk merancakkan aktiviti perniagaan dalam sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perkhidmatan pelancongan.

“Acara yang berjaya bukan sekadar membawa pelawat ke Johor, tetapi perlu mewujudkan peluang kepada rakyat Johor,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Golf Johor (JGTA), Kolonel Mohd Jamal Salleh, berkata kejohanan berkenaan menjadi peluang untuk memperkenalkan keupayaan Malaysia dalam menawarkan pengalaman golf, hospitaliti dan pelancongan kepada pengunjung antarabangsa.

Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026 juga, kejohanan itu juga memberi peluang kepada peserta menerokai tarikan pelancongan, makanan dan warisan budaya negara sepanjang berada di Malaysia.

Penganjur berharap kehadiran peserta antarabangsa dapat menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang serta meningkatkan perbelanjaan pelancong, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada industri pelancongan dan perniagaan tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.