Peningkatan laporan buli cermin kesedaran, keberanian mangsa

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Sebanyak 5,681 kes salah laku buli direkodkan di sekolah bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan laporan mencerminkan kesedaran awam serta keberanian mangsa dan saksi untuk tampil membuat laporan.
  • Landskap pelaporan turut dipengaruhi oleh penguatkuasaan Akta Antibuli 2026.
  • Setiap kes buli akan disiasat secara telus, dilaporkan lengkap dan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan sedia ada.
  • Kementerian mempergiat inisiatif dan memperkukuh pembentukan karakter melalui pelaksanaan Kurikulum Baharu 2027.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peningkatan jumlah kes yang dilaporkan itu bagaimanapun perlu dilihat dari sudut positif kerana mencerminkan peningkatan kesedaran awam serta keberanian mangsa dan saksi untuk tampil membuat laporan.

Menurut beliau, perubahan dalam landskap pelaporan itu turut dipengaruhi oleh penguatkuasaan Akta Antibuli 2026.

“Lonjakan terhadap kesedaran dan keberanian mangsa tampil dan juga rakan saksi dan pentadbiran pengurusan sekolah untuk tampil membuat laporan yang telus dan tidak lagi mengamalkan budaya melindungi secara melampau atau menyembunyikan kes di bawah karpet semata-mata demi menjaga kedudukan atau nama baik sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Tegas Datuk Seri Fadhlina, setiap kes buli akan melalui proses siasatan secara telus, disertai penyediaan laporan lengkap serta tindakan tatatertib berdasarkan peraturan sedia ada.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan akan terus mempergiat pelbagai inisiatif bagi menangani kes buli demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah sentiasa terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembentukan karakter murid akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Kurikulum Baharu 2027, khususnya dalam membentuk nilai murni, sahsiah, spiritual dan emosi.

Usaha itu penting bagi memperkukuh pembentukan karakter dan sahsiah murid, selaras dengan reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.