Kes serang guru: 38 saksi dirakam keterangan

Foto RTM

KUCHING, 28 Oktober – Polis mengesahkan tiada unsur buli dikenal pasti sebagai pencetus serangan menggunakan kapak terhadap seorang guru di sebuah sekolah swasta di Kuching, berdasarkan siasatan setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keterangan 38 saksi termasuk guru, rakan sekelas, pengawal keselamatan dan ibu bapa diambil kira; siasatan turut mempertimbangkan kemungkinan kemurungan.
  • Suspek yang masih bawah umur kini menerima rawatan psikiatri.
  • Kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober; pihak pendakwaan sedang meneliti.
  • Identiti suspek mesti dilindungi kerana kes melibatkan individu bawah umur.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, siasatan termasuk kemungkinan faktor kemurungan telah mengambil kira keterangan 38 saksi, terdiri daripada guru, rakan sekelas, pengawal keselamatan serta ibu bapa suspek.

Menurutnya, suspek yang masih bawah umur kini masih menerima rawatan psikiatri.

“Kita telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sarawak pada 26 Oktober lalu. Ketika ini, pihak pendakwaan masih meneliti kertas siasatan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Saifullizan menjelaskan, sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil penelitian pihak pendakwaan serta penilaian psikiatri terhadap suspek.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau turut menegaskan identiti suspek perlu dilindungi kerana kes itu membabitkan individu bawah umur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.