
GEORGE TOWN, 27 Oktober – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi peminjam berpendapatan rendah seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
- Peminjam berpendapatan di bawah RM2,500: pembayaran ansuran ditangguhkan.
- Peminjam berpendapatan RM2,500 hingga RM3,000 hanya perlu membayar ansuran RM50 sebulan.
- Peminjam berpendapatan lebih RM3,000 perlu membayar seperti biasa; peminjam tiada tunggakan dapat diskaun 10%.
- Peminjam berkemampuan digalakkan terus bayar bagi menikmati diskaun; yang berhutang digesa runding untuk susun semula elak disenaraihitam.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kaedah pelaksanaan inisiatif itu sedang dibincangkan bersama Kementerian Kewangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,500, pembayaran ansuran akan ditangguhkan, manakala kalau (pendapatan) RM2,500 hingga RM3,000, (bayar) RM50 sahaja. Pendapatan atas RM3,000 kena bayar seperti biasa.
“Secara terperinci, kita masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan akan mengumumkan kaedahnya secara lebih komprehensif dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Junior Superhero Simpan SSPN 2026 di Hospital Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.
Peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan pula hanya perlu membayar ansuran minimum RM50, manakala peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur layak menerima diskaun 10 peratus.
Dalam pada itu, Datuk Seri Norliza menggalakkan peminjam yang bekerja dan berkemampuan supaya terus membuat bayaran balik secara konsisten bagi menikmati diskaun berkenaan.
Beliau turut menasihati peminjam yang mempunyai tunggakan supaya berunding dengan PTPTN untuk menyusun semula bayaran balik, sekali gus mengelakkan mereka daripada disenaraihitamkan oleh agensi itu.