Malaysia-Thailand perkukuh pembangunan sempadan

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan/Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Oktober – Malaysia dan Thailand akan menilai kemajuan kerjasama dua hala meliputi aspek politik dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan serta pembangunan kawasan sempadan menerusi dua mesyuarat di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-16 dan Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama ke-7 dengan Thailand.
  • Mesyuarat dipengerusikan bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand Sihasak Phuangketkeow selepas sesi pegawai kanan.
  • Perbincangan fokus pada kerjasama sosial, kebudayaan, pembangunan sempadan dan projek kesalinghubungan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan keselamatan dua hala.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala Ke-16 dan Mesyuarat Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama Bagi Kawasan Sempadan Ke-7 antara Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama Datuk Seri Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Sihasak Phuangketkeow yang juga Menteri Luar, selepas mesyuarat di peringkat pegawai kanan.

“Perbincangan turut merangkumi kerjasama sosial dan kebudayaan serta pembangunan kawasan sempadan, termasuk projek kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat berkenaan juga merupakan kesinambungan daripada Lawatan Rasmi Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke Malaysia pada 9 dan 10 Julai lalu,” jelas kenyataan itu.

Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2025, dengan jumlah dagangan RM118.57 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan dua hala meningkat kepada RM97.76 bilion berbanding RM77.38 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Perkembangan itu mencerminkan pertumbuhan hubungan perdagangan serta potensi ekonomi yang berterusan antara Malaysia dan Thailand,” menurut beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.