
SUNGAI BULOH, 27 Oktober – Seramai 1,409 bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat manfaat menerusi inisiatif Kerjaya Kedua Perwira di bawah Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) setakat bulan lepas.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kelangsungan kerjaya anggota ATM selepas tamat perkhidmatan terus terpelihara.
“Daripada jumlah berkenaan, seramai 781 veteran berjaya memperoleh pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan purata gaji antara RM2,970 hingga RM5,000, manakala 628 bakal pesara mengikuti latihan industri sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan selepas bersara,” katanya.
Beliau berkata PERHEBAT turut memperluas peluang kerjaya berkemahiran tinggi menerusi penglibatan veteran dalam pengoperasian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Seramai 10 peserta Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) berjaya menamatkan latihan selama setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China, menerusi kerjasama dengan Malaysia Rail Link (MRL) dan rakan industri.
“Usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen memperkukuh kebolehpasaran veteran ATM, sekali gus membolehkan pengalaman dan kemahiran mereka terus dimanfaatkan dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen PERHEBAT ke-71 di Dewan Jubli Perak, Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh.
Pada majlis itu, seramai 4,164 anggota ATM berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara, manakala 833 anggota dan veteran ATM layak menerima Diploma Lanjutan, Diploma serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi program Recognition of Prior Experiential Learning (R-PEL).
Dalam pada itu, graduan Diploma Kemahiran Malaysia (Pengurusan Sekuriti), S.Saktiyavaanan berkata pengalaman mengikuti latihan kemahiran berkenaan membuka peluang kepada anggota tentera untuk meneruskan kerjaya dalam bidang bersesuaian selepas bersara, termasuk sektor keselamatan.
Sementara itu, graduan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (Pengurusan Pentadbiran), Norfadila Mohamed Ali berkata, pencapaian ini menjadi sebahagian daripada persediaannya untuk menceburi sektor awam.
“Saya mengambil diploma lanjutan kemahiran Malaysia bahagian pengurusan pentadbiran untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan dalam sektor awam,” jelas beliau.