Pelaburan projek Battersea terlalu tinggi, kerugian giat dipulihkan – PM

Foto Stesen Jana Kuasa Battersea UK (BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Pelaburan awal yang terlalu tinggi dalam projek pembangunan semula Stesen Jana Kuasa Battersea di United Kingdom (UK) menyebabkan kerugian dan kini memerlukan usaha pemulihan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri bersetuju wajar mempersoalkan keputusan pelaburan luar negara, termasuk keprihatinan Ahli Parlimen Pasir Gudang.
  • Kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 20 peratus pelaburan GLIC dan GLC dilaksanakan dalam negara sejak tiga tahun lalu.
  • Projek Battersea diterajui konsortium Malaysia termasuk S P Setia, Sime Darby, KWSP dan PNB, pelaburan pemegang saham melebihi £5 bilion.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun usaha sedang dilakukan bagi memulihkan pelaburan berkenaan, namun beliau mengakui rasional mempersoalkan keputusan pelaburan di luar negara itu adalah tepat.

“Saya setuju dengan gesaan dan teguran bahawa ada beberapa langkah yang dilakukan dulu termasuk Stesen Jana Kuasa Battersea, walaupun sekarang sedang cuba dipulihkan tetapi pelaburan asal itu terlalu tinggi dan telah mengalami kerugian.

“Sekarang ia cuba dipulihkan dan rasional yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang adalah tepat. Mengapa kita agak terlalu terburu buru untuk melabur di luar,” jelas Datuk Seri Anwar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Hassan ingin mengetahui jumlah pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam projek yang mengambil masa 15 tahun itu, selain manfaat ekonominya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut memaklumkan sejak tiga tahun lalu kerajaan telah menetapkan sekurang-kurangnya 20 peratus pelaburan GLIC dan GLC dilaksanakan dalam negara dan kadar itu akan ditingkatkan secara berperingkat.

“Sejak 3 tahun lalu, kita telah tetapkan mesti ada keutamaan sekurang-kurangnya peringkat awal saya tetapkan segera 20 peratus dalam negara dan ini ditingkatkan mengikut kesediaan dan keupayaan mereka,” tambah beliau.

Projek pembangunan semula Battersea seluas 16.9 hektar itu diterajui konsortium Malaysia membabitkan S P Setia Bhd, Sime Darby Property Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), dengan pelaburan pemegang saham Malaysia melebihi £5 bilion setakat ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.