Peruntukan Sabah, Sarawak ambil kira cabaran geografi, keperluan infrastruktur

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Kerajaan mempertahankan keputusan menyediakan peruntukan pembangunan lebih besar kepada Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira cabaran geografi serta keperluan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian Malaysia 1963 mesti dilihat sebagai wadah nasional untuk menjaga kepentingan bersama semua pihak.
  • Ahli Parlimen minta penjelasan berhubung pengurangan atau tidak penyaluran peruntukan projek KKDW.
  • Belanjawan 2027 tidak termasuk projek KKDW yang dibangkitkan; projek diumum berdasarkan penilaian terkini.
  • Kerajaan akui peruntukan terhad; tekankan tadbir urus, semakan perolehan dan kontrak untuk elak ketirisan serta pastikan kemampuan pelaksana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keperluan itu termasuk keadaan jalan raya yang masih teruk di beberapa kawasan di Sabah, meskipun jumlah penduduknya lebih kecil berbanding negeri lain.

“Kita tidak seharusnya melihat perkara ini hanya dari sudut kepentingan satu negeri apabila membincangkan keperluan Sabah dan Sarawak.

“Sebaliknya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dilihat sebagai wadah nasional. Adalah menjadi kepentingan bersama kita untuk menjaga kepentingan semua pihak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Dr Ronald meminta penjelasan mengenai keputusan mengurangkan atau tidak menyalurkan peruntukan bagi beberapa projek di Sabah dan Sarawak di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), meskipun kedua-dua negeri berhak mendapat peruntukan lebih besar di bawah MA63.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan keputusan itu dipengaruhi perbezaan politik.

Menjawab perkara itu, Perdana Menteri berkata peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 tidak merangkumi perbelanjaan bagi projek KKDW yang dibangkitkan Ahli Parlimen berkenaan.

“Apa yang kita umumkan ialah projek yang diluluskan berdasarkan penilaian terkini,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan mengakui peruntukan pembangunan tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan, namun menegaskan tadbir urus yang baik perlu dipastikan bagi mengelakkan ketirisan.

Beliau berkata proses perolehan dan pemberian kontrak juga perlu diteliti bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta mengambil kira keupayaan melaksanakan projek berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.