
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) disaran untuk mengurus perancangan percukaian dan kewangan dengan lebih teratur, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai insentif menerusi Belanjawan 2027.
- Laporkan cukai dengan tepat untuk dapatkan Sijil Pematuhan Cukai, memudahkan permohonan bantuan, geran serta kemudahan pinjaman.
- Struktur cukai baharu memberi kelebihan berbeza mengikut entiti; pelepasan individu meningkat, kadar cukai syarikat dikurangkan.
- Gunakan sistem perakaunan teratur, manfaatkan AI dan platform LHDN seperti MyTax serta e-Invois untuk mudahkan pelaporan pra-isi.
Pakar Percukaian dan Fellow Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space Services, Dr. Mohd Fairuz A. Razak berkata, keupayaan perniagaan untuk bertahan dan kekal bersaing bergantung kepada sejauh mana peniaga mengurus maklumat akaun mereka dengan tepat.
“Peniaga perlu membuat pelaporan cukai yang betul kerana ia penting walaupun mereka tidak dikenakan cukai untuk dibayar.
“Melalui pelaporan yang tepat, peniaga berpeluang mendapatkan Sijil Pematuhan Cukai (TCC), yang boleh membantu memudahkan permohonan bantuan, geran atau kemudahan pinjaman.
“Pada masa yang sama, pelaporan cukai yang teratur mencerminkan pematuhan terhadap tanggungjawab percukaian dan sumbangan kepada pembangunan negara,” katanya kepada RTM.
Menurut beliau, struktur cukai baharu memberi kelebihan berbeza mengikut entiti perniagaan.
Bagi Syarikat Sendirian Berhad (SDN BHD), terdapat penurunan banjaran kadar cukai perniagaan daripada 15 peratus kepada 14 peratus, serta 17 peratus kepada 16 peratus.
Manakala bagi peniaga tunggal dan perkongsian, pelaporan dibuat di bawah cukai individu yang menawarkan pelepasan lebih luas, termasuk peningkatan pelepasan diri daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Mengenai pengurusan aliran tunai, beliau menasihati peniaga kecil supaya meninggalkan kaedah rekod lama seperti tulis dalam buku nota dan beralih kepada sistem perekodan akaun untung rugi yang lebih sistematik.
Bagi peniaga e-dagang yang berdepan persaingan harga dan kenaikan kos operasi, beliau menyarankan usahawan menilai semula model perniagaan masing-masing, termasuk memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk mengurangkan kos tenaga kerja serta mendapatkan khidmat nasihat perakaunan yang sah.
Mengulas isu kebarangkalian kenaikan harga barang, Dr. Mohd Fairuz menegaskan pematuhan cukai baharu tidak membebankan peniaga, sebaliknya kemudahan sistem digital Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti MyTax dan e-Invois memudahkan pelaporan terus secara pra-isi (pre-populated) tanpa memerlukan kos perkhidmatan ejen cukai yang tinggi.