
YAN, 27 Oktober- Sebanyak RM1.85 juta diperuntukkan tahun ini menerusi Program Peruntukan Pembangunan Agromakanan Negara (PPAN) bagi membina dan melabuhkan 50 unit tukun tiruan di perairan Kedah.
- Jumlah tukun tiruan kini mencecah 638 unit dengan kos kumulatif RM12.83 juta.
- Sepuluh unit dilabuhkan di setiap lokasi: Pulau Rebak Besar, Pulau Ujong Buloh, Pulau Songsong, Pulau Telor dan Kuala Kuar.
- Program menyokong pengurusan sumber perikanan, pemuliharaan habitat dan menyediakan sokongan logistik kepada 7,609 nelayan.
- Tukun tiruan dianggap pelaburan jangka panjang bagi menjamin sekuriti makanan dan kelestarian sosioekonomi komuniti nelayan.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata pelaksanaan itu menjadikan jumlah keseluruhan tukun tiruan yang dilabuhkan di perairan negeri berkenaan mencecah 638 unit dengan kos kumulatif RM12.83 juta.
Menurut beliau, sebanyak 10 unit tukun tiruan dilabuhkan di setiap lima lokasi iaitu Pulau Rebak Besar dan Pulau Ujong Buloh di Langkawi, Pulau Songsong dan Pulau Telor di Yan serta perairan Kuala Kuar di Alor Setar.
Beliau berkata peruntukan itu menyokong usaha pengurusan sumber perikanan, pemuliharaan dan penambahan habitat marin, selain menyediakan sokongan logistik kepada 7,609 nelayan di seluruh Kedah.
Usaha berkenaan dijangka membantu meningkatkan sumber perikanan dan hasil tangkapan nelayan pesisir pantai, selain memelihara kelestarian ekosistem laut untuk jangka panjang.
Sukri berkata program tukun tiruan juga merupakan pelaburan jangka panjang bagi menangani isu sekuriti makanan, menjamin ketersediaan sumber perikanan dan menyokong kelestarian sosioekonomi komuniti nelayan.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengalu-alukan kerjasama rakan strategik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menjayakan usaha pemuliharaan sumber marin negara.