JDT tekad kekalkan momentum cemerlang dalam ACLE

Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz (kiri) bersama pemain JDT Natxo Insa bercakap pada sidang media sebelum menjelang perlawanan peringkat liga zon timur, ACLE menentang Port FC esok di Stadium Sultan Ibrahim/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 26 Oktober – Wakil tunggal dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) Johor Darul Takzim (JDT) bertekad meneruskan momentum cemerlang dalam kempen musim ini, menjelang aksi ketiga peringkat Kumpulan A.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih Xisco Munoz yakin persiapan dan kelebihan beraksi di laman sendiri mampu bantu JDT capai keputusan positif.
  • Harimau Selatan seri dengan Buriram United dan menang 2-0 ke atas Pohang Steelers, menunjukkan prestasi konsisten dalam ACLE.
  • Port FC mahu curi mata selepas tewas dua perlawanan awal; jurulatih puji kekuatan taktikal dan pemain import JDT.

Selepas merekodkan satu seri dan satu kemenangan, Harimau Selatan bakal berdepan pendahulu Liga Thailand, Port FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz optimis persiapan pasukannya mampu meraih keputusan baik, selain kelebihan beraksi di laman sendiri.

Bagaimanapun, beliau mengakui berdepan tugas rumit menentang pasukan yang beraksi cemerlang dalam saingan Liga Thailand ketika ini.

“Saya menjangkakan perlawanan yang sengit kerana kami tahu kekuatan pasukan lawan itu. Tetapi saingan Liga Juara-Juara ini akan menyaksikan jurang perbezaan yang sangat kecil. Saya rasa kami telah bersedia, tetapi perlu sentiasa fokus sepanjang perlawanan.

“… dan beraksi dengan penuh semangat dan berkarakter. Sangat penting untuk kami mempamerkan aksi terbaik sebaik perlawanan bermula hingga tamat”, katanya pada sidang media sebelum menjelang perlawanan peringkat liga zon timur, Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Port FC esok di Stadium Sultan Ibrahim.

JDT sebelum ini meraih satu mata selepas seri dengan satu lagi wakil Thailand, Buriram United sebelum merekodkan kemenangan 2-0 ke atas kelab Korea Selatan, Pohang Steelers,13 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Port FC, Bozidar Bandovic berharap pasukannya dapat meneruskan aksi baik dalam saingan liga untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata berdepan JDT kelak.

Selepas tewas dua kali pada aksi awal ACLE, kelab yang kini menduduki tangga kedua terbawah mahu mencuri mata untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami kerana kami berdepan salah satu pasukan terbaik yang sangat teratur corak serangan dan bertahannya. Mereka juga bagus ketika mengubah corak permainan, selain mempunyai ramai pemain import dan pemain individu yang bagus.

“Kami sudah membuat persiapan untuk game esok (Selasa). kami ada baki sehari termasuk hari ini untuk pemulihan sebab kami baru sahaja bermain dua hari lepas”, katanya.

Port FC tewas dua aksi pembukaan semasa berdepan kelab Jepun, Vessel Kobe dan Kashiwa Reysol.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.