
PUTRAJAYA, 25 Oktober – Seorang individu didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada 22 Oktober lalu selepas mengaku bersalah membuat representasi mengelirukan pengguna berhubung barangan pakaian yang dibekalkan.
- Kes berpunca daripada aduan pengguna yang menerima jubah sedangkan barangan diiklankan dan sepatutnya dibekalkan ialah baju kurung.
- KPDN menegaskan mereka memandang serius representasi palsu atau mengelirukan, terutamanya berkaitan pengiklanan dan pembekalan barangan.
- Orang ramai diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN seperti WhatsApp, Portal e-aduan, Pusat Panggilan dan aplikasi Ez ADU KPDN.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kes itu berpunca daripada aduan seorang pengguna yang menerima pakaian jenis jubah, sedangkan barangan yang diiklankan dan sepatutnya dibekalkan ialah baju kurung.
“Siasatan dijalankan susulan kejadian pada 27 Februari 2024 sebelum tindakan pendakwaan diambil terhadap individu berkenaan,” menurut kenyataan KPDN hari ini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1)(b) akta sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh pada 22 Oktober lalu.
KPDN menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk representasi palsu atau mengelirukan dalam urus niaga, khususnya melibatkan pengiklanan dan pembekalan barangan yang tidak menepati keterangan seperti ditawarkan kepada pengguna.
Kementerian itu turut mengingatkan peniaga supaya sentiasa mengamalkan urus niaga yang beretika, telus dan bertanggungjawab dengan memastikan setiap barangan yang dibekalkan selaras dengan maklumat, keterangan serta pengiklanan yang dibuat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan amalan perniagaan mengelirukan, pengiklanan palsu atau pembekalan barangan yang tidak menepati keterangan boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi KPDN, termasuk WhatsApp 019-848 8000 atau 019-279 4317, Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my, talian Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.