
BATU PAHAT, 24 Oktober – Seorang remaja maut manakala, lima lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan di kilometer 140 Jalan
Johor Bahru-Melaka, Bagan, Batu Pahat, Johor kira-kira 10.35 malam tadi.
- Kereta dipandu lelaki 28 tahun terbabas dari arah Batu Pahat ke Parit Moin sebelum melanggar sebatang pokok tepi jalan.
- Seorang remaja lelaki 16 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan dada, disahkan meninggal dunia di lokasi.
- Pemandu mengalami kecederaan kedua-dua kaki dan pendarahan dalaman; isterinya cedera peha kiri dan luka di kepala.
- Tiga anak saudara, umur 15, 9 dan 2 tahun, turut cedera; semua mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan, ketika kejadian, kereta yang dipandu salah seorang mangsa cedera berusia 28 tahun, dari arah Batu Pahat menghala Parit Moin terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
“Akibat pelanggaran, seorang penumpang iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Manakala, lima lagi mangsa termasuk pemandu mengalami kecederaan.
“Pemandu kereta mengalami kecederaan di kedua-dua kaki dan pendarahan dalaman, isterinya cedera di peha kiri dan luka di kepala.
“Manakala, tiga lagi mangsa merupakan anak saudara mereka berusia 15, sembilan dan dua tahun turut mengalami kecederaan,” katanya.
Kesemua mangsa cedera menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.