
KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Kerajaan disaran mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kerangka etika yang jelas bagi mengawal penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebelum teknologi itu diperluas dalam kalangan masyarakat.
- Bentuk kerangka etika penggunaan AI terlebih dahulu untuk mengelakkan penyalahgunaan dan ancaman kepada kemanusiaan serta nilai masyarakat.
- Wujudkan mekanisme kawalan dan tadbir urus berkesan bagi melindungi keselamatan negara serta hak dan kepentingan rakyat.
- Pendekatan seimbang perlu bagi memajukan keupayaan AI tempatan, menarik pelaburan sambil mengekalkan kedaulatan dan kepentingan awam.
Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penggunaan AI perlu disertai mekanisme kawalan yang sewajarnya bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi berkenaan sehingga boleh mengancam keselamatan negara serta menjejaskan hak rakyat.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, meskipun AI berpotensi membuka peluang baharu dalam pembangunan ekonomi dan meningkatkan kecekapan pelbagai sektor, kesan negatif yang mungkin timbul perlu diberi perhatian dan ditangani secara berkesan.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah penyebaran maklumat palsu serta penyalahgunaan teknologi AI untuk mempengaruhi persepsi masyarakat dan menjejaskan proses demokrasi.
“Insiden pembakaran rumah Menteri Kewangan Indonesia pada Ogos 2008 yang didakwa berpunca daripada kenyataan palsu dan tidak jelas menunjukkan kesan buruk penyalahgunaan teknologi. Kejadian itu mengakibatkan kerosakan harta benda, namun tiada pihak yang tampil bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana techno-fascism merupakan ancaman besar yang bukan sahaja menjejaskan aspek kemanusiaan, pasaran, nilai dan cara hidup masyarakat, malah turut memberi kesan kepada kedaulatan negara.
“Justeru, kerangka etika penggunaan AI perlu dibentuk terlebih dahulu sebelum teknologi itu diterima pakai secara meluas dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, aspek tadbir urus AI perlu diberi perhatian seiring usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan teknologi serta membangunkan keupayaan AI tempatan.
Katanya, pendekatan yang seimbang penting bagi memastikan penerapan teknologi berkenaan memberikan manfaat kepada negara, tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kepentingan awam dan kedaulatan negara.