Malaysia Techlympics 2026: Program ‘outreach’ STEM lepasi sasaran awal penyertaan

Foto RTM

LABUAN, 21 Oktober – Malaysia Techlympics 2026 menerusi Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) mencatatkan kejayaan membanggakan apabila merekodkan 3.18 juta penyertaan di seluruh negara setakat 20 Oktober lalu, sekali gus melepasi sasaran awal 1.8 juta penyertaan yang ditetapkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar untuk merapatkan jurang literasi teknologi digital dan STEM.
  • Bertemakan 'Bakat tidak mengenal alamat' menekankan peluang sama rata bagi generasi muda menyerlah dalam sains, teknologi dan inovasi.
  • Penglibatan pelajar Labuan menggalakkan; 117 peserta dari lapan sekolah layak ke pertandingan akhir kebangsaan di MAEPS, Serdang.

Program pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar, khususnya dalam merapatkan jurang literasi teknologi digital dan STEM selain memastikan mereka mendapat peluang serta ruang untuk mengetengahkan kebolehan masing-masing.

Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Abdullah Daud berkata, program bertemakan ’Bakat tidak mengenal alamat’, itu turut menekankan peluang sama rata kepada generasi muda untuk menyerlah dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Kita memastikan keutamaan diberikan kepada sekolah, pelajar atau kumpulan sasaran di luar bandar.

“Sekiranya pelajar daripada kumpulan yang saya sebutkan tadi diberikan peluang, ruang dan platform, prestasi mereka sememangnya di luar jangkaan,” katanya
selepas merasmikan program berkenaan di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sementara itu, Pengarah UMSKAL, Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, penglibatan pelajar dalam program berkenaan amat menggalakkan dengan menunjukkan keterujaan terhadap bidang sains dan teknologi.

“Penglibatan anak-anak dari Labuan ini sangat menggalakkan. Mereka juga menunjukkan keterujaan yang tinggi.

“Perkara ini amat baik untuk memperkasakan program sains dan teknologi di peringkat kebangsaan, selain membuka peluang untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Di Labuan, sebanyak 10,308 penyertaan direkodkan bagi edisi kelima program berkenaan.

Daripada jumlah berkenaan, 117 peserta yang mewakili 38 kumpulan dari lapan sekolah, terdiri daripada tiga sekolah rendah dan lima sekolah menengah layak ke pertandingan akhir kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, pada 15 hingga 16 November depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.