Ketua Pengarah AKPS mengaku tidak bersalah cederakan polis

Foto BERNAMA

SEPANG, 21 Oktober- Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
  • Dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kecederaan terhadap dua anggota polis.
  • Kesalahan didakwa berlaku di KLIA Terminal 1 pada 28 September.

Datuk Seri Mohd Shuhaily, 54 tahun, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Khairatul Animah Jelani serta memohon untuk dibicarakan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.

Manakala, Datuk Seri Mohd Shuhaily diwakili oleh lapan peguam diketuai Kitson Foong.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mahkamah membenarkan Datuk Seri Shuhaily diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 25 November depan bagi pengurusan kes berkenaan.

Terdahulu, Datuk Seri Mohd Shuhaily, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis iaitu Lans Koperal Faiz Saman dan Lans Koperal Ekmal Sofwan pada 28 September lalu di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.