Ketua Pengarah AKPS hadapi pertuduhan hari ini

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tiba di Mahkamah Majistret Sepang, ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal

SEPANG, 21 Oktober – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tiba di Mahkamah Majistret Sepang di sini pada 7.30 pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes mengasari dua anggota polis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Shuhaily didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis di KLIA pada 28 September.
  • Kes mendapat perhatian selepas video memaparkan beliau memarahi dua individu di KLIA Terminal 1 tular.
  • Jabatan Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis pada 17 Oktober dan meminta penambahbaikan sebelum tindakan selanjutnya.

Beliau hadir dengan memakai sut berwarna biru dan ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

Menurut sistem e-Filing mahkamah, pertuduhan dijadualkan dibacakan pada pukul 9 pagi di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani .

Mohd Shuhaily akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, pada 28 September lalu.

Semalam, beliau menyatakan kesediaan untuk menghadapi proses perundangan negara serta menerima apa-apa keputusan mahkamah berhubung kes berkenaan.

Kes itu mendapat perhatian susulan penularan video yang memaparkan beliau memarahi dua individu di KLIA Terminal 1.

Pada 17 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan kertas siasatan kes itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, AGC meminta beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap kertas siasatan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.