
KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Malaysia sedang berunding dengan Thailand, Laos, Vietnam dan Kemboja bagi membuka laluan transit darat untuk mengeksport durian segar ke China dengan tempoh penghantaran dijangka mengambil masa tiga hingga empat hari.
- Perundingan melibatkan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan bagi menyelaras urusan transit antara negara.
- Proses perundingan dan libat urus antara negara yang akan dilalui berjalan lancar.
- Laluan darat berpotensi mempercepat penghantaran serta mengurangkan kos berbanding penghantaran udara.
- Malaysia turut meneroka eksport melalui laut, namun kaedah itu mengambil masa lebih panjang berbanding darat dan udara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata rundingan itu turut melibatkan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan bagi menyelaras urusan transit antara negara.
“Proses perundingan dan libat urus antara negara yang akan dilalui bagi pengeksportan makanan, khususnya durian ke China, sedang berjalan dengan lancar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gopeng di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, laluan darat berpotensi mempercepat penghantaran berbanding pengangkutan udara yang melibatkan kos lebih tinggi.
“Penghantaran melalui udara memang agak mahal. Melalui darat, durian dijangka dapat dihantar ke China dalam tempoh tiga hingga empat hari sahaja,” katanya.
Datuk Seri Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperkukuh kerjasama serantau serta penyelarasan rentas sempadan bagi merealisasikan laluan berkenaan.
Dalam pada itu, Malaysia turut meneroka pilihan eksport melalui laut, namun kaedah tersebut mengambil masa lebih panjang berbanding pengangkutan udara dan laluan darat yang sedang dibincangkan.