
- 8,021 pelarian Myanmar di Kelantan merupakan pemegang kad UNHCR.
- Polis menegaskan akan mengambil tindakan terhadap sebarang jenayah dilaporkan.
- Aktivis masyarakat memberi amaran peningkatan kemasukan PATI dan pelarian jika isu tidak ditangani serius.
- Enam kes buli di sekolah sejak Januari; satu didakwa, tiga disiasat, dua diklasifikasikan NFA.
KOTA BHARU, 20 Oktober – Kehadiran pelarian Myanmar di Kelantan masih terkawal, dengan kes jenayah direkodkan setakat ini hanya membabitkan sesama mereka dan tidak melibatkan penduduk tempatan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, seramai 8,021 pelarian Myanmar berada di negeri itu dan kesemuanya merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Lapan ribu orang ini kami kawal dan setakat ini tidak ada masalah. Apa juga jenayah yang berlaku, kita akan ambil tindakan.
“Selagi kami ada, insya-Allah keadaan boleh dikawal. Sekiranya berlaku jenayah dan laporan dibuat, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Semalam, seorang aktivis masyarakat mendakwa Kelantan berdepan peningkatan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian Myanmar sekiranya isu itu tidak ditangani secara serius dan berkesan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Yusoff merekodkan enam kes buli di sekolah di negeri itu sejak Januari hingga kini.
Datuk Mohd Yusoff berkata, satu daripada kes berkenaan telah dituduh di mahkamah, tiga kes masih dalam siasatan dan dua lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).