
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Orang ramai bakal menikmati diskaun 30 peratus bagi tiket kelas ekonomi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selama sebulan.
- Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan potongan diberikan kepada orang awam yang tidak menerima tiket konsesi.
- MRL menawarkan diskaun 50% kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas 60 tahun ke atas, pemegang kad OKU dan pesara.
- Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun layak menikmati diskaun 40%.
- Penjualan tiket dibuka pertengahan November untuk membolehkan perancangan; diskaun bertujuan galakkan penggunaan ECRL.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tawaran itu diberikan bermula hari pertama operasi ECRL pada 12 Disember ini, sekali gus membolehkan lebih ramai pengguna mencuba perkhidmatan rel berkenaan pada harga lebih rendah.
“Penawaran potongan ini diberikan kepada orang awam yang tidak menikmati sebarang tiket konsesi.
“Kita akan memulakan penjualan tiket tak lama lagi dan bagi bulan pertama ini, orang ramai akan menikmati 30 peratus diskaun,” katanya selepas merasmikan Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026, di sini.
Terdahulu, Malaysia Rail Link (MRL) mengumumkan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.
Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun 40 peratus.
Penjualan tiket akan dibuka pada pertengahan November bagi membolehkan orang ramai merancang perjalanan masing-masing.
Tawaran diskaun bersempena pembukaan operasi itu dijangka memberi peluang kepada lebih ramai pengguna merasai pengalaman menaiki ECRL, selain memperluas pilihan pengangkutan rel bagi perjalanan antara destinasi yang dihubungkan oleh laluan berkenaan.