Jepun desak Rusia bebaskan wartawan ditahan

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara/Foto AFP

TOKYO, 20 Oktober – Jepun membantah tindakan Rusia yang masih belum membenarkan akses konsular kepada seorang wartawan Jepun yang ditahan atas dakwaan mengintip, meskipun kedua-dua negara mempunyai protokol yang menjamin hak berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kegagalan Rusia membenarkan lawatan konsular dalam tempoh ditetapkan disifatkan oleh Minoru Kihara sebagai amat dikesali.
  • Protokol antara Jepun dan Kesatuan Soviet menuntut akses konsular dalam tempoh tidak melebihi empat hari selepas penahanan.
  • Jepun menafikan dakwaan pengintipan, mendesak pembebasan wartawan, lawatan konsular segera dan layanan kemanusiaan serta adil.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, menyifatkan kegagalan pihak berkuasa Rusia membenarkan lawatan konsular kepada wartawan berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan sebagai amat dikesali.

Menurut beliau, protokol yang dimeterai antara Jepun dan Kesatuan Soviet itu, yang kekal berkuat kuasa dengan Rusia, menetapkan akses konsular perlu diberikan dalam tempoh tidak melebihi empat hari selepas seseorang ditangkap atau ditahan.

Wartawan akhbar Hokkaido Shimbun itu ditahan pihak berkuasa Rusia di pulau Sakhalin, Timur Jauh Rusia, kira-kira seminggu lalu atas syak wasangka melakukan pengintipan.

Media Rusia melaporkan lelaki berkenaan akan terus ditahan sehingga 12 Disember.

Jepun menafikan dakwaan pengintipan itu dan mendesak Rusia membebaskannya.

Minoru Kihara berkata Jepun akan terus mendesak Rusia supaya membenarkan lawatan konsular dengan segera, selain menuntut pembebasan wartawan berkenaan serta memastikan beliau diberikan pertimbangan kemanusiaan dan layanan yang adil.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.