Iran-Rusia perkukuh kerjasama

Foto AFP

TEHRAN, 20 Oktober – Iran dan Rusia tidak pernah menjalin kerjasama serapat sekarang, kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, ketika Moscow berusaha memainkan peranan sebagai pengantara dalam konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Luar Iran bertemu Sergey Lavrov; perbincangan meliputi perkembangan Eropah dan Asia Barat.
  • Fokus perbincangan termasuk Lubnan, Palestin, Ukraine dan Yaman.
  • Kedua negara menumpukan usaha untuk meluaskan kerjasama ekonomi dan nuklear.
  • Moscow menawarkan peranan pengantaraan bagi mengelakkan konflik berskala besar, ketika rundingan AS-Iran buntu.

Araghchi berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov, yang melakukan lawatan ke Iran pada Isnin, lawatan pertamanya sejak konflik tercetus.

Menerusi hantaran di platform X, Araghchi berkata perbincangan mereka merangkumi pelbagai isu, termasuk perkembangan di Eropah dan Asia Barat, khususnya Lubnan, Palestin, Ukraine serta Yaman.

Kedua-dua pihak turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama ekonomi dan nuklear.

“Tidak pernah dalam sejarah kita, Iran dan Rusia bekerjasama serapat sekarang,” katanya.

Sebelum lawatan itu, Lavrov berkata usaha Moscow bertujuan mengelakkan konflik berskala besar daripada kembali tercetus, ketika rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih menemui jalan buntu.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, sebelum ini turut menyatakan kesediaan Moscow untuk menyumbang kepada usaha pengantaraan, ketika mengadakan perbualan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, bulan ini.

Iran dan Rusia, yang berdepan sekatan antarabangsa yang meluas, mengekalkan hubungan rapat dalam pelbagai bidang.

Konflik di Asia Barat tercetus pada Februari susulan serangan AS dan Israel terhadap Iran. Gencatan senjata pada April serta memorandum persefahaman antara AS dan Iran pada Jun bagaimanapun gagal menghentikan pertempuran di dalam dan sekitar Selat Hormuz.

Iran mendakwa menguasai laluan perairan strategik itu, yang lazimnya menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, selain kerap menyasarkan kapal yang melaluinya tanpa kebenaran Tehran.

Sebagai tindak balas, Washington terus melaksanakan sekatan laut balas terhadap pelabuhan Iran.

Kementerian Luar Rusia sebelum ini memaklumkan bahawa perbincangan Lavrov di Iran dijangka memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan krisis antarabangsa yang tercetus susulan tindakan ketenteraan AS dan Israel terhadap republik Islam itu.

Menurut kementerian berkenaan, konflik tersebut menjejaskan kestabilan dan keselamatan bukan sahaja di Asia Barat, malah pada peringkat global.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.