JAS Kelantan tingkat rondaan bendung pembakaran terbuka

Timbalan Pengarah JAS Kelantan, Mohamad Zamzani Ibrahim / Foto RTM

KOTA BHARU, 19 Oktober – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mempertingkatkan rondaan harian, termasuk pada hujung minggu, bagi membendung aktiviti pembakaran terbuka susulan fenomena jerebu serantau akibat kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan, Indonesia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks Pencemaran Udara di Kelantan kekal sederhana dan menunjukkan trend semakin baik, bacaan menurun di Tanah Merah dan Kota Bharu.
  • JAS menerima 312 aduan pencemaran udara tahun ini: 264 pembakaran terbuka, 27 kebakaran tanah gambut, 41 aduan hotspot.
  • Pelaksanaan penguatkuasaan: 174 rondaan darat, 11 pemantauan dron; 3 kompaun pembakaran, 5 Notis Arahan, 98 Field Citation, 73 kompaun kenderaan.

Timbalan Pengarah JAS Kelantan, Mohamad Zamzani Ibrahim berkata, pemantauan turut mengambil kira keadaan cuaca dan pergerakan angin bagi mencegah kemerosotan kualiti udara.

“Kita memantau juga keadaan cuaca, pergerakan angin dan semua. Bermula musim jerebu, pelan tindakan pembakaran terbuka kebangsaan telah diaktifkan dan rondaan dilaksanakan setiap hari, termasuk hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2026 Peringkat Negeri Kelantan di sini.

Menurut beliau, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kelantan kekal pada tahap sederhana dan menunjukkan trend semakin baik, dengan bacaan di stesen pemantauan Tanah Merah dan Kota Bharu terus menurun sehingga 18 Oktober lalu.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, sepanjang tahun ini, JAS Kelantan menerima 312 aduan pencemaran udara, termasuk 264 aduan pembakaran terbuka, 27 kes kebakaran tanah gambut dan 41 aduan hotspot.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2026, sebanyak 174 rondaan darat dan 11 pemantauan udara menggunakan dron dilaksanakan menerusi Operasi Pencegah Pembakaran Terbuka,” katanya.

Mohamad Zamzani menambah, tiga kompaun dikeluarkan bagi kesalahan pembakaran terbuka, manakala tujuh kes sedang dalam proses mendapatkan izin mengkompaun daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Selain itu, sebanyak lima Notis Arahan dan 98 Field Citation turut dikeluarkan kepada pihak yang melanggar undang-undang berkaitan.

Dalam usaha mengawal pencemaran daripada kenderaan bermotor, JAS Kelantan turut melaksanakan 95 operasi Ops Catat dan 31 Ops Statik, yang membawa kepada pengeluaran 73 kompaun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.