MyEkspresiKata, bantu kanak-kanak autisme berkomunikasi

Dr. Nur Atirah Kamaruzaman

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Inovasi komunikasi visual berasaskan kecerdasan buatan (AI) MyEkspresiKata dilihat sebagai usaha untuk membantu memudahkan komunikasi kanak-kanak neurodivergen, termasuk mereka dalam spektrum autisme yang mempunyai pertuturan terhad atau tidak bertutur, menyampaikan kehendak dan keperluan golongan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • MyEkspresiKata menggunakan gambar sebenar menjadi kad komunikasi interaktif dengan sokongan suara dalam bahasa Melayu, boleh disesuaikan mengikut keperluan individu.
  • Pendekatan mengajar dari objek dikenali kepada perkataan kemudian frasa mudah, menyokong pengenalan dan pembelajaran bahasa Melayu berperingkat.
  • Dibangunkan oleh pasukan UPM dan Xiamen University Malaysia, hasil penyelidikan didokumentasi dan mendapat perlindungan hak cipta.
  • Inovasi itu memenangi pingat emas di konvensyen UiTM dan menyokong usaha pendidikan serta inisiatif pusat khas dan kelas Tabika Tunas Istimewa.

Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Nur Atirah Kamaruzaman berkata, pembangunan itu memberi pemahaman secara langsung tentang cabaran bahasa dan komunikasi yang dihadapi komuniti tersebut.

“Kesukaran untuk bertutur tidak bermakna kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sesuatu untuk disampaikan. Mereka memerlukan kaedah komunikasi yang sesuai supaya ibu bapa, penjaga, guru dan ahli terapi dapat memahami keperluan mereka.

“Fokus kami adalah untuk memastikan MyEkspresiKata mudah digunakan, dapat disesuaikan dengan keperluan individu dan membantu kanak-kanak menyampaikan perkara yang ingin mereka nyatakan kepada orang sekeliling,” katanya kepada RTM.

Pengalaman sebagai individu dalam spektrum autisme serta ibu kepada seorang anak perempuan yang turut berada dalam spektrum autisme menjadikan Dr. Nur Atirah lebih peka terhadap kesukaran komunikasi yang dihadapi.

Dengan MyEkspresiKata ia membolehkan gambar sebenar daripada persekitaran pengguna dijadikan kad komunikasi interaktif dengan sokongan suara dalam bahasa Melayu.

“Penggunaan bahasa dalam aplikasi ini disusun berdasarkan keperluan komunikasi harian. Kanak-kanak diperkenalkan kepada objek yang dikenali, perkataan yang mewakili objek tersebut dan seterusnya frasa mudah untuk menyampaikan kehendak.

“Pendekatan ini membolehkan alat komunikasi digunakan bersama proses pengenalan dan pembelajaran bahasa Melayu secara berperingkat,” katanya lagi.

Dr. Nur Afifah Kamaruzaman (kiri), Dr. Nur Atirah Kamaruzaman dan Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid

Pasukan penyelidik turut melibatkan Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM serta Dr. Nur Afifah Kamaruzaman dari School of Artificial Intelligence and Robotics, Xiamen University Malaysia.

MyEkspresiKata turut memperoleh anugerah emas dalam kategori Professional Inventors pada UiTM Academy of Language Studies Northern Region International Conference and Innovation, Invention and Design Convention 2026 yang berlangsung di Pulau Pinang pada 18 September lalu.

Selain itu konsep dan modul MyEkspresiKata turut didokumentasikan sebagai hasil penyelidikan dan telah mendapat perlindungan hak cipta menerusi Putra Science Park, UPM.

Pembangunan inovasi itu turut menyokong usaha memperkukuh pendidikan, sokongan dan latihan bagi individu dalam spektrum autisme, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Belanjawan 2027.

Antara inisiatif yang diumumkan ialah pembinaan dua Pusat Permata Kurnia di Melaka dan Pahang sebagai pusat khusus untuk kanak-kanak dalam spektrum autisme.

Selain itu, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu akan dibuka di kawasan luar bandar di seluruh negara bagi membolehkan kanak-kanak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat bimbingan awal yang lebih berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.