
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Mangsa buli siber digesa membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku.
- MCMC dan PDRM akan bertindak profesional dan berlandaskan undang-undang tanpa mengira individu terlibat.
- Fahmi mengecam serangan dalam talian terhadap pelajar Universiti Malaya, termasuk ugutan dan hasrat mencarinya di kampus.
- MCMC akan bertindak secara proaktif dan menyemak tindakan berdasarkan aduan serta situasi semasa.
- Mahasiswa berhak bersuara selagi tidak melanggar undang-undang; perbezaan pendapat tidak boleh dijadikan alasan mengugut.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua agensi akan bertindak secara profesional dan berlandaskan undang-undang tanpa mengira individu yang terlibat.
“Mana-mana pihak yang merasakan diri mereka menjadi mangsa buli siber, saya nasihatkan supaya membuat laporan polis dan aduan kepada MCMC bagi membolehkan pelaku dikesan serta dibawa ke muka pengadilan.
“MCMC dan PDRM akan bertindak secara profesional serta mengambil tindakan berlandaskan undang-undang tanpa mengira siapa yang terlibat.
“Mengulas serangan dalam talian terhadap seorang pelajar Universiti Malaya (UM), beliau mengecam tindakan segelintir pengguna media sosial terhadap pelajar berkenaan.
“Dalam kes serangan dalam talian terhadap adik Ummi Umairah, pelajar UM, saya mengecam tindakan pihak yang mengherdik dan mengugut beliau.
“Malah, ada yang menyatakan hasrat untuk mencarinya di UM. Ini bukan adab kita.
“Saya akan menyemak dengan pihak MCMC mengenai tindakan yang telah diambil berdasarkan aduan yang diterima.
“Namun, saya ingin menegaskan bahawa MCMC juga akan bertindak secara proaktif, bukan sekadar menunggu laporan dibuat, tetapi mengambil tindakan sekiranya perlu berdasarkan situasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Smart Parents Interactive Hub (GenBina) di Dewan Cengal, IWK Eco Park, Pantai Dalam.
Beliau turut menegaskan bahawa mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan selagi tidak melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan jenayah.
Katanya, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam masyarakat demokratik, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan gangguan dan ancaman terhadap individu lain.
“Kita boleh berbeza pandangan, itu tidak menjadi masalah. Dalam kes pelajar UM ini, beliau menyuarakan pandangan dalam satu forum.
“Kita tahu mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara. Perkara itu perlu diraikan selagi tidak melanggar undang-undang atau melibatkan sebarang unsur jenayah. Malah, beliau menegur perkara berkaitan jenayah rasuah.
“Jadi, pada pandangan saya, kita perlu melihat apa yang disampaikan itu. Mungkin ada yang bersetuju atau tidak bersetuju dengan nada dan cara penyampaiannya, tetapi daripada segi intipati, kita sebagai sebuah negara bangsa harus menyokong usaha membanteras kleptokrasi, penyamun, perompak dan perasuah,” katanya.
Datuk Seri Fahmi turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar masyarakat sentiasa menjaga adab ketika berkomunikasi dalam talian.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengguna supaya memahami implikasi hantaran di media sosial serta berwaspada terhadap akaun palsu yang boleh mempengaruhi dan memanipulasi interaksi dalam talian.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi berkata Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Melaka pada 24 Oktober ini.
Datuk Seri Fahmi berkata, proses pemilihan calon kini berada di peringkat akhir.
“Jadi, saringan telah dilakukan, termasuk semakan dengan pihak berkuasa seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Langkah-langkah berkenaan telah dilaksanakan.
“Bagi parti, amalannya adalah melalui pemakaian ‘bond’. Sekiranya berlaku pelanggaran, denda akan dikenakan. Sebelum ini, bagi ahli parlimen, jumlah denda ditetapkan sebanyak RM10 juta.
“Jadi, calon-calon parti perlu menandatangani ‘bond’ berkenaan. Kita tunggu pengumuman pada 24 Oktober,” katanya.
Beliau memaklumkan, komposisi calon dijangka membabitkan gabungan muka baharu dan pemimpin berpengalaman.
Bagaimanapun, ia masih belum dimuktamadkan.
“Berdasarkan apa yang saya tahu, walaupun senarai itu belum dimuktamadkan sepenuhnya, ia merupakan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu.
“Ada yang pernah bertanding, malah ada yang pernah menang. Ada juga yang pernah bertanding di kawasan lain berikutan perubahan kerusi hasil perbincangan dengan parti-parti rakan,” ujarnya.