Amang seksual: Lelaki ditahan tawar wang tujuan seksual terhadap pelajar 16 tahun

Suspek berusia 35 tahun direman tiga hari hingga 20 Oktober ini

MIRI, 18 Oktober – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Desa Pujut, Miri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek didakwa berada dalam keadaan separuh bogel dan menawarkan wang sebagai balasan untuk melakukan hubungan seks ketika mangsa berjalan pulang dari sekolah.
  • Mangsa melarikan diri ke rumah kenalan berhampiran sebelum membuat laporan polis bersama keluarganya.
  • Polis merampas telefon dan kenderaan suspek; suspek direman tiga hari; kes disiasat di bawah Seksyen 15(a)(i); polis minta mangsa lain tampil.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang di Marina ParkCity pada 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 tengah hari, Khamis lalu, ketika mangsa berjalan kaki pulang dari sekolah.

“Suspek yang memandu sebuah kenderaan didakwa berada dalam keadaan separuh bogel sebelum mendekati mangsa dan menawarkan wang sebagai balasan untuk melakukan hubungan seks.

“Mangsa bagaimanapun bertindak melarikan diri ke rumah kenalannya yang berhampiran sebelum membuat laporan polis bersama keluarganya,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Polis turut merampas telefon bimbit dan kenderaan milik suspek.

Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 20 Oktober ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Polis turut meminta mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa suspek dengan modus operandi sama supaya tampil membuat laporan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.