Pendaki wanita tidak sedarkan diri di air terjun Langsir, Dungun

Foto RTM

DUNGUN,17 Oktober – Seorang wanita berusia 48 tahun tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti pendakian di Air Terjun Langsir, Chemerong di sini hari ini bersama dengan 31 individu lain dan lima malim gunung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit Udara dan pengaktifan Pasukan STORM dimohon pada sekitar 1 tengah hari hingga 1.30 petang untuk memindahkan mangsa.
  • Helikopter AW139 bersama lima anggota berlepas ke lokasi pada 2.26 petang untuk melaksanakan misi pemindahan.
  • Mangsa dan suami dikeluarkan pada 5.50 petang, dibawa ke sekolah kemudian dirujuk ke Hospital Dungun untuk rawatan.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan Ishak Abd Aziz berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 11.22 pagi sebelum menghubungi malim gunung yang berada bersama Lim Kah Wah bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi dan keadaannya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, Lim yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang berada kira-kira sembilan kilometer dari kaki gunung dan perjalanan ke lokasi dianggarkan mengambil masa hingga 15 jam.

“Pada 1 tengah hari, bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dimohon bagi memindahkan mangsa manakala permohonan pengaktifan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) negeri dibuat pada 1.30 tengah hari,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ishak berkata helikopter AW139 bersama dengan lima anggota berlepas ke lokasi pada 2.26 petang bagi melaksanakan misi pemindahan mangsa.

“Mangsa dan suaminya telah dibawa keluar dari lokasi berkenaan pada 5.50 petang serta dibawa ke Sekolah Menengah Sains Dungun dekat sini,” katanya.

Beliau berkata pasangan itu tiba di sekolah berkenaan pada 6 petang sebelum dibawa ke Hospital Dungun bagi membolehkan wanita berkenaan mendapatkan rawatan. – BERNAMA.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.