Media sosial bukan pentas jatuhkan maruah individu

Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan

SHAH ALAM, 17 Oktober – Setiap kebebasan dan pandangan bersuara perlu disertai adab juga rasa hormat kepada individu lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Media sosial bukan pentas untuk menghina, memaki, mencaci atau menjatuhkan maruah sehingga memecahbelahkan masyarakat.
  • Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan; nyatakan pendapat dengan bahasa yang baik dan beradab.
  • Jika mengkritik, sampaikan secara membina. Jika menegur, lakukan dengan penuh berhemah.
  • Jangan mudah percaya atau menyebar berita tanpa memastikan kesahihan; elakkan menjadi penyebar fitnah dan kebencian.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, media sosial bukan menjadi pentas untuk menghina, memaki, mencaci atau menjatuhkan maruah sehingga menimbulkan kebencian juga memecahbelahkan masyarakat.

“Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.

“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur; maka tegur lah dengan penuh berhemah,”titah Sultan Ibrahim.

Baginda turut menyeru rakyat tidak mudah mempercayai atau menyebar sesuatu berita sebelum memastikan kesahihannya.

“Jangan kerana mahu menjadi individu pertama yang berkongsi sesuatu yang belum pasti, akhirnya kita menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan kebencian.

“Saya mahu melihat kita menjadi sebuah masyarakat yang matang dalam berkomunikasi, bebas bersuara dengan penuh adab, berani memberi pandangan tetapi tidak menghina dan tegas mempertahan pendirian tanpa menanam kebencian,”titah baginda lagi pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-105.

Dalam titah ucapan baginda, Sultan Ibrahim turut berkenan menamakan Kampus Jalan Othman sebagai ‘Kampus Tun Arshad Ayub’ bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang menerajui penubuhan dan pembangunan UiTM sejak 1965.

Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah gelaran Profesor Emeritus kepada lima tokoh akademik atas bakti, kepakaran dan sumbangan masing-masing kepada universiti.

Seramai 15 graduan turut menerima Anugerah Graduan Terbaik daripada keseluruhan 32,630 graduan yang bakal menerima diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang, termasuk 1,215 graduan pascasiswazah.

Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105 dijadual berlangsung bermula 17 Oktober sehingga 14 November depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.