
RANTAU PANJANG, 15 Oktober – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menerima upah RM10 bagi setiap tong untuk menghantar minyak petrol dan diesel ke Thailand di Rantau Panjang, semalam.
- Suspek 22 tahun ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kampung Gual Nering, Nibong Gual Periuk.
- Rampasan termasuk sebuah MPV putih, enam tong berisi 150 liter petrol dan 12 tong mengandungi 300 liter diesel.
- Siasatan awal: suspek mengisi minyak di stesen sekitar kawasan itu lima kali sehari, membayar RM120 sebelum menyimpan dalam tong.
- Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM32,281.50; kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi di Kampung Gual Nering, Nibong Gual Periuk.
Katanya, operasi itu membawa kepada rampasan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih, selain enam tong berisi 150 liter petrol dan 12 tong mengandungi 300 liter diesel.
“Siasatan awal mendapati suspek mengisi minyak di stesen minyak sekitar Rantau Panjang sebanyak lima kali sehari dengan bayaran sebanyak RM120.00 sebelum menyimpannya dalam tong untuk dihantar ke Thailand.
“Suspek turut memaklumkan bahawa sebanyak 24 tong minyak dihantar ke negara jiran itu dengan bayaran RM10 bagi setiap tong,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM32,281.50, termasuk kenderaan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.