Terbuka Denmark: Weijie-Ee Yi, Sze Fei-Nur Izzuddin bertembung, sahkan slot suku akhir

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Tiga beregu negara meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Denmark selepas mencatat kemenangan dalam aksi pusingan pertama awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan dua daripadanya bakal bertembung sesama sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chia Weijie-Teo Ee Yi menewaskan pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-16, 21-15.
  • Chia/Teo akan bertemu rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, yang menewaskan Nur Mohd Azriyn-Tan Wee Kiong 21-14, 21-11.
  • Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Jimmy Wong-Cheng Su Yin 21-19, 21-16; kini akan berdepan pilihan keenam China.

Pada aksi di Jyske Bank Arena di Odense itu, beregu lelaki negara Chia Weijie-Teo Ee Yi yang menghuni ranking ke-58 dunia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-16, 21-15.

Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal berdepan rakan senegara yang juga pilihan keenam kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, pada pusingan kedua selepas mereka menewaskan satu lagi pasangan negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, 21-14, 21-11.

Pertembungan sesama sendiri itu menjamin satu lagi slot buat Malaysia pada suku akhir selepas Aaron Tai-Yap Roy King yang akan berdepan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Dalam acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin 21-19, 21-16.

Pasangan itu dijadual berdepan pilihan keenam dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, pada pusingan kedua.

Sementara itu, cabaran perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching berakhir di pusingan pertama selepas tewas kepada wakil Jepun Riko Gunji dalam pertarungan tiga set.

Ling Ching yang memenangi set pertama 21-19 gagal mengekalkan momentum apabila tewas 11-21, 19-21.

Nasib sama turut menimpa beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tersingkir selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer 16-21, 20-22. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.