Kemalangan di Jambatan Pulau Pinang : Wanita parah tersepit, dua cedera

Foto JBPM

GEORGE TOWN, 15 Oktober – Seorang wanita cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 1.3 Jambatan Pertama Pulau Pinang menghala ke Perai, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat dan mangsa berjaya dikeluarkan, diserahkan kepada Bulan Sabit Merah untuk dibawa ke hospital.
  • Operasi melibatkan 19 anggota dari BBP Perai dan BBP Jalan Perak, tamat pada pukul 5.37 pagi.
  • Suami mangsa dan pemandu kenderaan lain mengalami kecederaan ringan pada kepala, kaki dan tangan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.49 pagi itu, mangsa, Salina Sahak, 45 tahun, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama suaminya, Zahrani Ismail, 47 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala, kaki dan tangan.

Suaminya pula mengalami kecederaan ringan di kepala, kaki dan tangan.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Nor Hidayat Osman, 38 tahun, yang memandu sebuah kenderaan lain, turut mengalami kecederaan ringan di kepala.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.49 pagi.

Beliau berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi pada pukul 4.02 pagi dengan bantuan anggota dari BBP Jalan Perak.

“Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat untuk mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diserahkan kepada pihak Bulan Sabit Merah untuk dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Operasi menyelamat yang melibatkan 19 anggota itu tamat pada pukul 5.37 pagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.