
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan 73,000 pelitup muka untuk diagihkan kepada pejabat daerah dan anggota polis di Johor susulan situasi jerebu ketika ini.
- 48,000 pelitup muka diagihkan kepada 10 pejabat daerah (4,800 setiap daerah) dan 25,000 diserahkan kepada Polis Kontinjen Johor.
- Agihan dikhususkan untuk petugas barisan hadapan yang berkhidmat di luar bangunan susulan keadaan jerebu.
- Penyerahan dibuat menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor pada majlis di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Johor Bahru.
- Polis mengesahkan agihan segera kepada anggota bertugas, terutamanya di 13 Pusat Kawalan Daerah, dan merakamkan penghargaan.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebanyak 48,000 pelitup muka diagihkan kepada 10 pejabat daerah dengan 4,800 bagi setiap daerah manakala 25,000 lagi diserahkan kepada Polis Kontinjen Johor.
“Agihan ini dikhususkan buat petugas barisan hadapan yang berkhidmat di luar bangunan berikutan keadaan jerebu di Johor,” menurut hantaran itu.
Kurniaan itu disampaikan menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini pada Rabu.
Simbolik penyerahan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Pengerusi II YRZSNJ Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ Hishamuddin Abd Rahim kepada Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat manakala bagi pejabat daerah diterima oleh pegawai daerah masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata, pengagihan akan dilakukan segera kepada anggota bertugas, khususnya di 13 Pusat Kawalan Daerah (DCC) di seluruh negeri
Beliau yang mewakili warga Polis Johor turut merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong terhadap keselamatan dan kesihatan petugas barisan hadapan.