
KOTA KUALA MUDA, 14 Oktober – Nelayan dinasihatkan menangguhkan aktiviti menangkap ikan sekiranya keadaan jerebu menjejaskan jarak penglihatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika berada di laut.
- Ketua Pengarah LKIM menasihati nelayan di selatan Semenanjung, terutamanya Johor, supaya berhati-hati kerana jerebu menjejaskan keselamatan.
- Bekalan ikan di pasaran kekal mencukupi untuk memenuhi keperluan seluruh negara.
- Jika cuaca tidak menentu, laut bergelora atau jarak penglihatan terjejas, nelayan dinasihatkan supaya tidak turun ke laut dan utamakan keselamatan.
- LKIM menyalurkan bantuan awal RM1,000 kepada mangsa kebakaran Azizan, bantuan susulan sehingga RM10,000 akan dipertimbangkan.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Dr Abdul Salim Tajudin berkata, nelayan terutama di kawasan selatan Semenanjung, khususnya Johor, perlu lebih berhati-hati berikutan keadaan jerebu yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.
Beliau berkata, setakat ini kebanyakan nelayan masih dapat turun ke laut walaupun berdepan keadaan jerebu, manakala bekalan ikan di pasaran kekal mencukupi untuk memenuhi keperluan seluruh negara.
“Jerebu di kawasan utara tidak begitu menjejaskan aktiviti nelayan, namun di kawasan selatan, khususnya Johor, jarak penglihatan agak teruk dan mereka perlu lebih berhati-hati.
“Jika keadaan cuaca tidak menentu, laut bergelora atau jerebu menjejaskan jarak penglihatan, nelayan dinasihatkan supaya tidak turun ke laut. Paling penting ialah keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah seorang nelayan, Azizan Mohd Soleh, 60, yang musnah dalam kebakaran di Kampung Pulau Sayak, di sini.
Dalam lawatan itu, LKIM menyalurkan bantuan awal RM1,000 kepada Azizan yang mengalami kerugian dianggarkan lebih RM300,000 selepas bengkel dan sebahagian rumahnya musnah dalam kebakaran pada malam Isnin lalu.
Bantuan itu disalurkan menerusi Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, manakala bantuan susulan sehingga RM10,000 akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa LKIM.
Azizan, yang juga mekanik enjin bot, berkata kebakaran kira-kira 10.50 malam itu memusnahkan sebuah kereta milik anaknya, selain 11 motosikal dan lima enjin bot milik pelanggan.
Beliau berkata, rumah berkenaan telah didiaminya selama kira-kira 30 tahun dan kebakaran itu turut memusnahkan bengkel tempatnya mencari rezeki.
Azizan merakamkan penghargaan kepada LKIM atas bantuan awal yang disalurkan bagi meringankan beban selepas kejadian itu.