
MANCHESTER, 14 Oktober – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique berharap Manchester City terlepas daripada hukuman berhubung pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL), sambil menegaskan kelab itu layak menerima trofi yang dimenanginya.
- Suruhanjaya bebas mendapati Manchester City bersalah lebih 100 pertuduhan kewangan bagi 2009-2018, berdepan hukuman berat termasuk kemungkinan penyingkiran.
- Terdapat spekulasi trofi semasa tempoh itu mungkin dilucutkan; City merayu keputusan dan menafikan salah laku.
- Luis Enrique puji pencapaian City di atas padang, kata trofi layak diterima dan perlawanan menentang City menarik ditonton.
Manchester City berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat, termasuk penyingkiran daripada liga utama bola sepak England, selepas suruhanjaya bebas mendapati kelab itu bersalah atas lebih 100 pertuduhan berkaitan kewangan bagi tempoh 2009 hingga 2018.
Terdapat juga spekulasi bahawa trofi yang dimenangi dalam tempoh berkenaan mungkin dilucutkan. Bagaimanapun, City merayu keputusan itu dan menafikan sebarang salah laku.
Luis Enrique, yang juga rakan rapat serta bekas rakan sepasukan Pep Guardiola di Barcelona, berkata pencapaian City di atas padang tidak seharusnya dinafikan.
“Apa yang mereka lakukan di atas padang sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat luar biasa dan mereka sememangnya layak memenangi semua trofi yang diraih.
“Trofi yang dimenangi di atas padang kekal sebagai pencapaian di atas padang. Mereka layak menerimanya dan saya berharap mereka dapat mengelak hukuman itu,” katanya pada sidang media menjelang aksi Liga Juara Eropah menentang City.
Guardiola, yang meninggalkan City pada Mei lalu, dijadual kembali ke Stadium Etihad bagi perlawanan itu pada Rabu.
Sementara itu, pengendali City, Enzo Maresca mencatat permulaan cemerlang apabila memenangi kesemua lapan perlawanan dalam semua kejohanan sejak mengambil alih tugas Guardiola.
Bagaimanapun, Luis Enrique menolak tanggapan bahawa pertemuan itu menjadi penanda aras awal kekuatan kedua-dua pasukan.
“Januari ialah tempoh untuk melihat tahap sebenar sesebuah pasukan. Selepas lima atau enam bulan, banyak perkara boleh berubah dan banyak pasukan mengalami perubahan.
“Namun, ini perlawanan menarik pada peringkat ini dan menyeronokkan untuk ditonton,” katanya. – AFP.