Arab Saudi umum keadaan bahaya di Riyadh berakhir selepas amaran kecemasan

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup yang dikongsikan Kementerian Media Arab Saudi, ketika Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh terkena serangan Houthi pada 10 Oktober./ AFP

ISTANBUL, 14 Oktober – Pertahanan Awam Arab Saudi pada Selasa mengumumkan bahawa keadaan bahaya di ibu negara Riyadh telah berakhir, beberapa minit selepas mengeluarkan amaran kecemasan tanpa memperincikan bentuk ancaman itu, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertahanan Awam mengumumkan keadaan bahaya di Riyadh berakhir beberapa minit selepas amaran kecemasan dikeluarkan.
  • Penduduk diarahkan ke tempat selamat, kekal di dalam bangunan, elakkan berkumpul dan rakaman serta patuhi arahan pihak berkuasa.
  • Pihak berkuasa tidak mendedahkan bentuk ancaman; kumpulan Houthi mengancam sasaran termasuk pejabat Aramco dan lapangan terbang Riyadh.

“Amaran telah dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan di bandar Riyadh bagi memaklumkan mengenai kemungkinan berlaku bahaya,” menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.

Penduduk diarahkan supaya menuju ke tempat selamat yang terdekat dan kekal di dalam bangunan sehingga keadaan bahaya berakhir.

Beberapa minit kemudian, Pertahanan Awam mengumumkan keadaan di bandar itu kembali selamat serta menggesa penduduk supaya terus mematuhi arahan dan mengelakkan diri daripada berkumpul serta membuat rakaman.

Amaran di Riyadh itu dikeluarkan kurang sejam selepas pihak berkuasa mengumumkan bahawa keadaan bahaya di Wilayah Timur telah berakhir susulan amaran sama yang dikeluarkan sebelum itu. Pihak berkuasa juga tidak mendedahkan bentuk bahaya di wilayah berkenaan.

Terdahulu pada Selasa, kumpulan Houthi di Yaman mengancam untuk menyasarkan ibu pejabat syarikat minyak negara Arab Saudi, Aramco di Dammam, lapangan terbang utama di Riyadh serta loji penapis Aramco di Riyadh sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan pakatan yang diketuai Arab Saudi ke atas kemudahan mereka di Sanaa. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.