
PARIS, 14 Oktober – Gelombang demonstrasi menyokong pelajar sekolah menengah di seluruh Perancis semakin memuncak apabila 161,500 orang menyertai perhimpunan pada Selasa, lebih dua kali ganda berbanding 71,500 peserta pada demonstrasi minggu lalu.
- Protes pelajar menuntut pembaikan bilik darjah, kemudahan, lebih guru dan kurikulum kurang padat.
- Tindakan polis didakwa keterlaluan menyebabkan kecederaan, polis membuka siasatan terhadap dakwaan keganasan.
- Kerajaan tawarkan guru gantian namun dianggap tidak mencukupi; kesatuan dan pelajar merancang protes lanjutan termasuk bantahan kos sara hidup.
Bagaimanapun, kesatuan sekerja yang turut menganjurkan perhimpunan itu menganggarkan jumlah kehadiran mencecah 480,000 orang di seluruh negara.
Perkembangan itu meningkatkan tekanan terhadap Presiden Emmanuel Macron ketika penggal kedua dan terakhir pentadbirannya menghampiri penghujung, kira-kira enam bulan sebelum Perancis memilih penggantinya.
Gerakan bantahan yang bermula bulan lalu itu tercetus apabila pelajar sekolah menengah berusia 15 hingga 18 tahun menyekat pintu masuk sekolah bagi menuntut penambahbaikan keadaan bilik darjah, kemudahan sekolah yang daif serta penyelesaian isu kekurangan guru dan jadual pembelajaran yang padat.
Ketidakpuasan hati semakin memuncak susulan tindakan polis yang didakwa keterlaluan ketika mengendalikan demonstrasi, sehingga mengakibatkan beberapa pelajar mengalami kecederaan serius.
Kementerian Pendidikan Perancis memaklumkan seramai 147 kakitangan pengajar turut cedera dalam siri bantahan berkenaan, manakala polis membuka siasatan dalaman terhadap 34 dakwaan keganasan terhadap penunjuk perasaan.
Walaupun kebanyakan demonstrasi berlangsung aman, insiden keganasan dilaporkan di Paris apabila beberapa kenderaan dibakar dan polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan belia bertopeng yang membina sekatan jalan raya serta membaling objek.
Aktivis Sweden, Greta Thunberg, turut menyertai demonstrasi di Saint-Denis, pinggir Paris, sambil menyuarakan kebimbangan bahawa masa depan golongan muda sedang terjejas.
Kerajaan sebelum ini berjanji menghantar 3,000 guru gantian ke 114 sekolah yang paling terjejas, namun pelajar menolak langkah itu kerana disifatkan tidak mencukupi untuk menangani tuntutan mereka.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan 214 sekolah, kebanyakannya sekolah menengah, ditutup pada Selasa. Kesatuan pelajar universiti pula melaporkan 90 peratus universiti di seluruh negara turut ditutup sebagai tanda solidariti.
Bantahan dijangka terus meluas apabila kesatuan sekerja dan kumpulan pelajar merancang menyertai demonstrasi membantah peningkatan kos sara hidup pada Sabtu ini.
Perkembangan itu berlaku ketika kerajaan berdepan kesukaran meluluskan belanjawan penjimatan di Parlimen susulan peningkatan hutang negara yang turut mencetuskan kebimbangan pasaran bon.
Pada Isnin, Macron menggesa penunjuk perasaan supaya bertenang, sambil menegaskan isu berkenaan memerlukan masa, rundingan, perbincangan dan sikap saling menghormati.- AFP