
LIPIS, 12 Oktober – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff cedera selepas kereta dinaikinya hilang kawalan di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama, Kechau Tui, Kuala Lipis pada petang semalam.
- SUV dipandu anaknya berusia 26 tahun hilang kawalan, berpusing dan melanggar penghadang jalan.
- Datuk Siti Zailah mengalami kecederaan di dada dan perut; anaknya tidak cedera, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis.
- Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59; polis minta saksi tampil dan nasihat pengguna memandu berhati-hati.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian 6 petang itu, kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu anaknya berusia 26 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa bersama anaknya dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Apabila tiba di lokasi kejadian, SUV dipandu anaknya hilang kawalan lalu berpusing dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan.
Akibat kemalangan tersebut, Ahli Parlimen Rantau Panjang berusia 63 tahun itu mengalami kecederaan dibahagian dada dan perut manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Datuk Siti Zailah yang cedera kemudian dihantar Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut.
Kes masih dalam siasatan di bawah Rule 10 LN 166/59.
Dalam pada itu, polis mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat.