
SEPANG, 12 Oktober – Kebakaran tanah gambut di Indonesia terus menyukarkan operasi pemadaman apabila jarak penglihatan yang buruk menghalang penggunaan aset udara, manakala lokasi kebakaran jauh di pedalaman menyukarkan usaha pasukan darat.
- Indonesia mengerahkan 60,000 anggota namun berdepan kekurangan bekalan air dan cuaca tidak sesuai untuk pembenihan awan.
- Kebakaran tanah gambut sukar dipadam kerana api menjalar ke bawah hingga sepuluh meter, penyiraman permukaan tidak mencukupi.
- Malaysia akan bawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat menteri ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ke-49 di Manila.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Indonesia sudah mengerahkan 60,000 anggota untuk menjalankan operasi di darat, namun berdepan cabaran mendapatkan bekalan air serta keadaan cuaca yang tidak sesuai untuk pembenihan awan.
Beliau berkata, situasi itu membimbangkan Malaysia apabila jerebu dilaporkan sudah merebak hingga ke Pantai Timur Semenanjung susulan kebakaran di Indonesia.
“Walaupun mereka mempunyai tiga atau empat pesawat dan 34 helikopter, mereka tidak boleh menerbangkannya kerana keadaan penglihatan yang begitu buruk dan tidak selamat untuk penerbangan.
“Jadi, hendak melakukan pembenihan awan pun tidak boleh kerana tiada awan yang sesuai,” katanya ketika ditemui selepas keberangkatan pulang Raja Jordan, Raja Abdullah II, di Kompleks Bunga Raya, di sini, hari ini.
Datuk Seri Mohamad berkata, kebakaran tanah gambut amat sukar dipadamkan kerana api boleh merebak jauh ke bawah permukaan tanah, sekali gus memerlukan hujan lebat bagi memastikan air sampai ke lapisan yang terbakar.
“Setakat disiram di atas, ia tidak akan memadamkan kebakaran yang berlaku di bawah, sehingga 10 meter,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia bersimpati dengan kesukaran dihadapi Indonesia dalam menangani kebakaran berkenaan, namun berharap kerajaan negara itu dapat melaksanakan usaha lebih berkesan bagi memadamkannya dengan segera.
Datuk Seri Mohamad menjelaskan, beliau akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat menteri ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, bulan depan, bagi membincangkan pendekatan serantau menangani masalah itu.