Belanjawan 2027: Perkasa pekebun kecil sawit – MPOB

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Peruntukan bagi penyelenggaraan jalan ladang, pembiayaan tanam semula dan kawalan perosak serta penyakit tanaman di bawah Belanjawan 2027 dijangka membantu meningkatkan produktiviti pekebun kecil kelapa sawit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan penyelenggaraan jalan ladang dinaikkan kepada RM100 juta untuk menambah baik kemudahan asas dan memudahkan pengangkutan hasil.
  • RM200 juta disediakan bagi skim pembiayaan mudah untuk pekebun kecil dan pemilik ladang sehingga 40 hektar dengan penangguhan empat tahun.
  • RM30 juta diperuntukkan untuk kawalan perosak dan penyakit tanaman bagi mengurangkan risiko kehilangan hasil.
  • MPOB akan memanfaatkan penyelidikan, khidmat teknikal dan pengembangan untuk amalan pertanian baik, teknologi dan pembangunan produk bernilai tinggi.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, langkah itu dapat mengurangkan kos pengeluaran dan menyokong pendapatan pekebun kecil dalam jangka panjang.

“Peruntukan penyelenggaraan jalan ladang dinaikkan dua kali ganda daripada RM50 juta kepada RM100 juta bagi menambah baik kemudahan asas, sekali gus memudahkan pergerakan input pertanian dan pengangkutan hasil sawit.

“Selain itu, sebanyak RM200 juta disediakan bagi skim pembiayaan mudah kepada pekebun kecil dan pemilik ladang dengan keluasan sehingga 40 hektar, termasuk kemudahan penangguhan bayaran balik selama empat tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak RM30 juta lagi diperuntukkan bagi menangani masalah perosak dan penyakit tanaman, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan hasil.

“Dari perspektif MPOB, kemudahan ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meningkatkan produktiviti, mengurus kos pengeluaran dan menyokong pendapatan pekebun kecil dalam jangka panjang.

“Pada masa yang sama, peruntukan untuk pembangunan produk bernilai tinggi, penggunaan teknologi dan pemuliharaan alam sekitar membuka ruang untuk industri sawit terus berkembang secara lebih produktif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MPOB akan terus memanfaatkan kepakaran penyelidikan, khidmat teknikal dan pengembangan bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pengurusan tanaman serta mengamalkan amalan pertanian baik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.