
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja menerusi pelan MediAsas dijangka membantu lebih ramai pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan perlindungan perubatan asas.
- MediAsas membantu pekerja berdepan kekangan kewangan mendapatkan perlindungan perubatan lebih mampu milik.
- Pelan disasarkan kepada individu tanpa perlindungan insurans atau takaful untuk menampung kos rawatan utama.
- Terdapat dua pilihan pelan, MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, kedua-duanya melindungi sehingga umur 85 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell berkata, inisiatif itu membantu pekerja yang menghadapi kekangan kewangan mendapatkan perlindungan perubatan pada kadar lebih mampu milik.
“Akses kepada perlindungan perubatan merupakan sebahagian penting daripada persediaan kewangan. Inisiatif seperti MediAsas dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah pertama dalam mengurus risiko kewangan berkaitan kemasukan ke hospital dan rawatan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, MediAsas disasarkan kepada individu yang belum mempunyai perlindungan insurans atau takaful perubatan bagi menampung kos rawatan utama.
Pelan itu juga menjadi pilihan lebih mampu milik bagi mereka yang berdepan kenaikan premium insurans dan takaful perubatan apabila usia meningkat.
MediAsas menawarkan dua pilihan, iaitu MediAsas Teras sebagai pelan standard dan MediAsas Fleksi yang menyediakan perlindungan tambahan. Kedua-duanya melindungi individu sehingga berusia 85 tahun.
“LIAM berhasrat bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), agensi kerajaan berkaitan serta syarikat insurans yang mengambil bahagian bagi menyokong pengenalan MediAsas dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 bahawa MediAsas akan dilancarkan pada Januari 2027 dengan premium mampu milik.
Kerajaan menyediakan subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja PKS yang layak, dengan had maksimum 50 pekerja bagi setiap syarikat. Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 200,000 pekerja.