Dua maut, dalam nahas dua kereta di Lebuhraya Persekutuan

Foto JBPM Selangor

SHAH ALAM, 12 Oktober – Dua lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM 18.2 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada 12.27 tengah malam.
  • Mangsa yang terlibat termasuk lelaki dan wanita dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
  • Kesemua mangsa warga tempatan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan polis untuk tindakan lanjut.
  • Operasi menyelamat melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya serta BBP Bukit Jelutong.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.27 tengah malam.

Mangsa yang maut masing-masing berusia 20 tahun, manakala lima mangsa lain termasuk seorang wanita mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, empat mangsa berada dalam sebuah kereta sedan, dengan dua daripadanya disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi lelaki berusia 19 tahun cedera ringan.

Tiga lagi mangsa dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terdiri daripada seorang wanita berusia 29 tahun serta dua lelaki masing-masing berusia 27 dan 28 tahun yang turut mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mangsa warga tempatan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta BBP Bukit Jelutong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.