
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Terengganu membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Eric See-To atau Lim Sian See berhubung hantaran yang didakwa mempersendakan ungkapan berkaitan ayat suci al-Quran serta mengandungi tuduhan berunsur seksual terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Kebebasan bersuara tidak harus disalahgunakan untuk menghina agama, institusi diraja dan kaum.
- Pihak berkuasa diharap mengambil tindakan segera termasuk mempertimbangkan penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap kenyataan menghina.
- Komen mengaitkan 'lighad' dengan konotasi seksual dikecam; lebih 20 laporan polis dibuat di seluruh negara.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Terengganu, Dr Zainuddin Awang menegaskan, kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk menghina individu atau menyentuh isu agama, institusi diraja dan kaum (3R).
“Kita berharap pihak polis atau pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan segera terhadap individu berkenaan sebagai pengajaran kepadanya dan orang lain.
“Banyak akta yang boleh dipertimbangkan, termasuk Akta Hasutan 1948, berhubung tindakan membuat kenyataan atau memaparkan imej yang bersifat menghina,” katanya ketika ditemui RTM.
Di Terengganu, enam laporan polis dijangka dibuat di beberapa daerah, termasuk Kemaman, Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.
Sementara itu, lebih 20 laporan polis dilaporkan dibuat di seluruh negara berhubung isu berkenaan.
Pihaknya mengecam keras komen yang dikaitkan dengan Eric berhubung petikan Surah al-Hashr ayat 18 yang dibacakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2027.
Komen tersebut mengaitkan perkataan ‘lighad’, yang bermaksud hari esok, dengan perkataan berunsur seksual bagi tujuan sindiran politik.