
KUCHING, 12 Oktober – Penantian selama 10 tahun Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad Zabandi atau Rul Azhar dari zon Utara, membuahkan hasil selepas dinobatkan juara Bintang P.Ramlee 2026.
- Juara memikat juri dengan lagu 'Derita', membawa pulang RM20,000, trofi dan sijil selepas menewaskan lima finalis lain.
- Mahathir Zailani naib juara (RM15,000); Jeffryzan Jamil tempat ketiga (RM10,000); Mohd Ridzuan Md Taib raih Persembahan Terbaik (RM2,000).
- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari hadir menyampaikan hadiah bersama Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi.
Lagu Derita berjaya menarik perhatian juri dan membolehkannya membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi serta sijil selepas menewaskan lima finalis lain pada pertandingan yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) malam tadi.
“Terima kasih RTM memberi peluang kepada kami menonjolkan bakat masing-masing menerusi pertandingan seperti ini.
“Pertandingan seperti ini juga, platform kepada generasi muda untuk mengenali seniman agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee,”kata Rul Azhar.
Sementara itu, Mahathir Zailani dari Zon Sarawak muncul naib juara dan menerima wang tunai RM15,000, trofi dan sijil manakala tempat ketiga disandang Jeffryzan Jamil dari Zon Sabah, yang membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.
Persembahan Terbaik pula dirangkul Mohd Ridzuan Md Taib dari Zon Selatan, yang menerima wang tunai RM2,000, trofi dan sijil.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut hadir menyaksikan pertandingan itu dan menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.