
SEPANG, 12 Oktober – Raja Jordan, Raja Abdullah II tiba di Malaysia bagi lawatan negara selama dua hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
- Lawatan negara kedua Raja Abdullah II sejak 2008, menandakan lebih enam dekad hubungan diplomatik bermula 1965.
- Istiadat Sambutan Negara, menghadap Sultan Ibrahim, jamuan negara dan menghadap Perdana Menteri dijadual sepanjang lawatan.
- Kerjasama pendidikan kukuh; 1,636 pelajar Malaysia di Jordan dan lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di Malaysia.
Ketibaan Raja Abdullah II dan delegasi dengan menaiki pesawat khas disambut Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.20 malam tadi.
Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Dalam pada itu, Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, ini merupakan lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008.
“Lawatan negara berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang mula dijalinkan pada 1965,”menurut kenyataan.
Semasa lawatan, Raja Abdullah II bakal disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, diikuti dengan majlis menghadap Sultan Ibrahim.
Baginda juga akan diraikan dalam satu Majlis Jamuan Negara dan dijadual menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia dan Jordan berkongsi hubungan rapat yang telah lama terjalin terutamanya dalam bidang pendidikan.
Setakat 2026, seramai 1,636 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
“Kedua-dua negara terus menggalakkan kerjasama pendidikan, kolaborasi akademik dan perkongsian kepakaran, di samping memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan saintifik,” menurut kenyataan itu.
Selain hubungan antara rakyat yang telah lama terjalin, Malaysia dan Jordan turut berkongsi komitmen untuk memelihara keamanan, keadilan dan memastikan kestabilan yang berkekalan di rantau Asia Barat, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak sah rakyat Palestin.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat sebanyak 15.2 peratus berbanding 2024, dan terus berkembang sebanyak 8.0 peratus lagi kepada RM740.7 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.