
NAIROBI, 12 Oktober – Sekurang-kurangnya 139 migran termasuk 15 kanak-kanak, maut manakala 84 lagi hilang selepas sebuah bot yang sarat membawa 350 penumpang terbalik di perairan Djibouti.
- Bot yang dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman karam pada malam 8 hingga 9 Oktober.
- IOM memanggil insiden itu amat menyedihkan dan mengingatkan bahaya yang dihadapi migran sepanjang laluan mereka.
- Pasukan IOM berada di lokasi bersama pihak berkuasa Djibouti untuk membantu operasi menyelamat dan pemulihan.
- 82 orang terselamat semuanya warga Ethiopia; IOM membantu 64 yang ditempatkan di pusat migran Obock.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) memaklumkan bot berkenaan dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman dilaporr terbalik pada malam 8 hingga 9 Oktober.
Ketua Misi IOM di Djobouti, Alexandre Coissac berkata kepada AFP, insiden berkenaan amat menyedihkan yang mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Insiden ini memberi peringatan mengenai bahaya yang dihadapi migran sepanjang laluan mereka,”katanya.
IOM pada awalnya melaporkan 109 kematian dan 116 orang hilang.
Angka itu kemudian dikemas kini kepada 139 kematian dan 84 orang hilang selepas lebih banyak mayat ditemukan.
Coissac turut memaklumkan pasukan IOM berada di lokasi bersama pihak berkuasa Djibouti bagi membantu operasi.
Berdasarkan angka terkini juga, seramai 82 orang terselamat daripada insiden bot karam itu dan kesemuanya merupakan warga Ethiopia.
IOM memaklumkan pihaknya sedang membantu 64 orang yang terselamat di sebuah pusat migran di Obock.
Sementara itu Jurucakap IOM, Kennedy Omondi Okoth, memberitahu AFP seramai 178,000 individu telah tiba di Djibouti dari Ethiopia antara Januari hingga Oktober tahun ini.
Sejak 10 September, IOM mengesan lebih 20,000 pergerakan merentasi sempadan dari Ethiopia ke Djibouti, walaupun konflik di Yaman semakin memuncak. – AFP