Algeria tahan 61 warga Maghribi disyaki rancang sabotaj

Foto AFP

ALGIERS, 12 Oktober – Pihak berkuasa Algeria mengumumkan penahanan 61 warga Maghribi awal bulan ini kerana disyaki merancang tindakan sabotaj.

RINGKASAN BERITA AI
  • DGSN menyebut "rangkaian jenayah antarabangsa Maghribi" tanpa mendedahkan butiran rancangan yang didakwa
  • Termasuk seorang bekas anggota tentera Maghribi, suspek dipercayai membuat persiapan untuk sabotaj mengancam keselamatan dan ketenteraman awam
  • Suspek memasuki melalui laluan pergunungan dari Tunisia; hubungan Algeria dan Maghribi tegang, sempadan ditutup sejak 1994 dan hubungan diplomatik diputus 2021

Dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan, Direktorat Jeneral Keselamatan Negara (DGSN) merujuk kepada “rangkaian jenayah antarabangsa Maghribi” tanpa memperincikan rancangan yang didakwa terbabit.

Menurut DGSN, kesemua 61 suspek, termasuk seorang bekas anggota tentera Maghribi, sedang membuat persiapan untuk melakukan tindakan sabotaj yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Agensi itu turut memaklumkan bahawa suspek memasuki Algeria melalui laluan pergunungan dari negara jiran, Tunisia.

Hubungan antara Algeria dengan Maghribi tegang sejak sekian lama, manakala sempadan darat yang dikongsi kedua-dua negara ditutup sejak 1994.

Pada 2021, Algiers memutuskan hubungan diplomatik dengan Rabat.

Kedua-dua negara juga sekian lama berselisih faham berhubung isu Sahara Barat.

Bekas tanah jajahan Sepanyol yang kaya dengan sumber mineral itu sebahagian besarnya dikuasai Maghribi sejak 1975 dan dianggap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai wilayah yang belum berpemerintahan sendiri.

Rabat menganggap Sahara Barat sebagai sebahagian daripada wilayahnya, manakala Algiers menyokong Barisan Polisario yang memperjuangkan kemerdekaan wilayah itu serta tuntutan hak menentukan nasib sendiri. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.