
KATHMANDU, 11 Oktober – Lima orang dilaporkan hilang selepas banjir kilat di Sungai Budhi Gandaki menghanyutkan 65 rumah di daerah Gorkha dan Dhading di tengah Nepal pada pagi Ahad, lapor Xinhua memetik polis.
- Tanah runtuh menyebabkan sungai tersekat, lalu banjir tiba-tiba membawa air, lumpur dan serpihan merosakkan penempatan tepi sungai.
- Dua jambatan kenderaan dan dua jambatan gantung musnah, mengganggu akses di kawasan terjejas.
- Tentera memindahkan 36 orang melalui udara; operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh pasukan keselamatan.
“Lima orang dilaporkan hilang di daerah Gorkha. Kami masih mengumpulkan maklumat,” kata jurucakap Pasukan Polis Bersenjata Netra Bahadur Karki kepada Xinhua sambil menambah bahawa banjir itu turut memusnahkan dua jambatan yang boleh dilalui kenderaan dan dua jambatan gantung.
Banjir itu dicetuskan oleh tanah runtuh di Perbandaran Luar Bandar Chumanubri di daerah Gorkha yang menyebabkan Sungai Budhi Gandaki tersekat buat sementara waktu.
Tentera Nepal dalam kenyataan memaklumkan sungai itu kemudian merempuh sekatan tanah runtuh berkenaan, menyebabkan aliran air, lumpur dan serpihan secara tiba-tiba yang merosakkan penempatan di sepanjang tebing sungai.
Tentera memaklumkan 36 orang telah dipindahkan melalui udara ke lokasi lebih selamat susulan bencana itu.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, menurut pasukan keselamatan. – BERNAMA