Pindaan Akta 333: Pampasan disifatkan beri pembelaan kepada mangsa

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Pengguna jalan raya memberi sokongan penuh terhadap langkah kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa atau waris.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan diharap meningkatkan kesedaran pemandu dan mengurangkan risiko nahas jalan raya.
  • Pampasan wajib dianggap memberi pembelaan serta meringankan beban mangsa dan waris.
  • Pengumuman dalam Belanjawan 2027 diharap mencegah pemanduan bawah pengaruh dan galak guna perkhidmatan e-hailing atau teksi.

Seorang pengguna jalan raya, Norul Haifa Athirah Mohammad Ashraff menyifatkan pendekatan itu penting untuk meningkatkan kesedaran pemandu, selain mengurangkan risiko nahas jalan raya.

“Sebagai pengguna jalan raya, langkah kerajaan untuk meminda akta ini sangat bagus sebab perkara ini melibatkan nyawa keluarga kita sendiri.

“Jadi apabila pesalah perlu membayar pampasan kelak, ia akan memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengambil sebarang alhokol atau dadah semasa memandu,” katanya kepada RTM hari ini.

Bagi pengguna jalan raya, Muhammad Nuruddeen Mohammad Nasir pula, pendekatan itu antara perkara yang dinantikan masyarakat bagi menangani isu pemanduan bawah pengaruh alkohol yang kian membimbangkan sejak kebelakangan ini.

“Saya berharap apabila pindaan akta ini dikuat kuasakan kelak, kes melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah dapat dicegah.

“Kita sekarang berada di zaman moden dan banyak pilihan. Jika tidak boleh memandu, gunalah perkhidmatan e-hailing atau teksi demi keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Manakala, Muhammad Idham Iman Mohd Idris pula menyifatkan bayaran pampasan secara tidak langsung dapat memberi pembelaan yang sewajarnya kepada mangsa atau keluarga yang terlibat.

“Pampasan itu dapat membantu dan sedikit sebanyak meringankan beban mangsa yang terlibat.

“Pada masa sama, langkah ini juga memastikan pesalah bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka yang mengakibatkan kemudaratan kepada mangsa,” katanya.

Dalam Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.