Sekolah di Sentul-Keramat dibuka semula, Bangsar-Pudu kekal ditutup

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Sekolah di kawasan Sentul dan Keramat akan kembali beroperasi secara bersemuka esok, manakala institusi pendidikan di Bangsar dan Pudu kekal ditutup susulan perbezaan tahap pencemaran udara di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat selepas bacaan IPU menunjukkan penurunan selama tiga hari berturut-turut.
  • PdPR dan BDR ditamatkan bagi kawasan yang IPU membaik; bagi kawasan tercemar, PdPR dan BDR untuk guru serta AKP diteruskan.
  • Pemantauan kualiti udara diteruskan; ibu bapa dinasihatkan mengikuti pengumuman rasmi untuk maklumat terkini.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan membuka semula sekolah di Sentul dan Keramat dibuat selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan selama tiga hari berturut-turut.

Bacaan IPU di Stesen Batu Muda direkodkan pada paras 84 setakat pukul 2 petang ini, iaitu pada tahap sederhana.

Sehubungan itu, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta arahan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi kawasan berkenaan ditamatkan.

Bagaimanapun, semua institusi pendidikan di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar dan Pudu akan terus ditutup berikutan bacaan IPU di Stesen Cheras masih berada pada paras 152, iaitu tahap tidak sihat.

Pelaksanaan PdPR serta arahan BDR bagi guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di kawasan berkenaan diteruskan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

JPWPKL memaklumkan pemantauan kualiti udara akan diteruskan dari semasa ke semasa, manakala tindakan susulan akan ditentukan berdasarkan perkembangan bacaan IPU.

Ibu bapa dan penjaga turut disaran mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat terkini, demi memastikan kesihatan dan keselamatan murid terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.